Nov 11, 2009

La Tahzan - Jangan Bersedih (2)

Fikirkan dan Syukurilah

Ertinya, ingatlah setiap nikmat yang Allah anugerahkan kepada Anda. Kerana Dia telah melipatkan nikmat-Nya dari ujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki.

{jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan sanggup menghitungnya.}

(QS: Ibrahim :34)

Kesihatan badan, keamanan negara, sandang pangan, udara dan air, semuanya tersedia dalam hidup kita. Namun begitulah, Anda memiliki dunia, tetapi tidak pernah menyedarinya. Anda menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

{Dan, Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu lahir dan batin} (QS: Luqman:20)

Anda memiliki dua mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

{Maka nikmat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan?} (QS: Ar Rahman:13)

Apakah Anda mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu sesuatu yang sepele, sedang kaki acapkali menjadi bengkak bila digunakan jalan terus menerus tiada henti? Apakah Anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu sesuatu yang mudah, sedang keduanya bisa saja tidak kuat dan suatu ketika patah?

Maka sedarilah, betapa hinanya diri kita tertidur lelap, ketika sanak saudara di sekeliling Anda masih banyak yang tidak boleh tidur kerana sakit yang mengganggunya?

Pernahkah Anda merasa nista manakala dapat menyantap makanan lazat dan minuman sejuk di saat masih banyak orang di sekeliling Anda yang tidak boleh makan dan minum kerana sakit?

Cubalah fikirkan, betapa besarnya fungsi pendengaran, yang dengannya Allah menjauhkan Anda dari ketulian. Cuba renungkan dan raba kembali mata Anda yang tidak buta. Ingatlah dengan kulit Anda yang terbebas dari penyakit lepra dan sopak. Dan renungkanlah betapa dahsyatnya fungsi otak Anda yang selalu sihat dan terhindar dari kegilaan yang menghinakan.

Adakah Anda ingin menukar mata Anda dengan emas sebesar gunung Uhud, atau menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit? Apakah Anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah Anda, hingga Anda menjadi bisu? Mahukah Anda menukarkan kedua tangan Anda dengan untaian mutiara, sementara tangan Anda kudung?

Begitulah, sebenarnya Anda berada dalam kenikmatan tiada tara dan kesempurnaan tubuh, tetapi Anda tidak menyedarinya. Anda tetap merasa resah, suntuk, sedih dan gelisah, meski pun Anda masih mempunyai nasi yang hangaat untuk disantap, air segar untuk diteguk, waktu yang tenang tidur pulas, dan kesihatan untuk terus berbuat.

Anda acapkali memikirkan sesuatu yang tidak ada, sehingga Anda pun lupa mensyukuri yang telah ada. Jiwa Anda tergoncang kerana kerugian materi yang mendera. Padahal, sesungguhnya Anda masih memegang kunci kebahagiaan, memiliki jambatan pengantar kebahagiaan, karunia, kenikmatan dan lain sebagainya. Maka fikirkanlah semua itu, dan kemudian syukurilah!

{Dan, pada dirimu sendiri. Maka, apakah kamu tidak memperhatikan.} (QS: Adz Dzariyat :21)

Petikan dari buku La Tahzan- Jangan Bersedih

No comments:

Post a Comment