Jan 27, 2010

kisah kopi putih

Cerita Kopi Putih




“Ah, alangkah bagusnya dikala malam sepi sesejuk salju nun di Amerika Utara sana ada yang meneman. Paling-paling tidak pun boleh dibancuhnya kopi panas beserta cekodok ikan bilis dan bawang.” Bisik hati Mamat yang tengah termenung menjengah ke luar. “perrgh! Memang sedap makan makanan yang macam tu di waktu-waktu begini.” Sambung kata hatinya.

Malam ini Mamat hanya tinggal seorang diri di rumah sewanya itu. Teman lainnya pergi berkursus di utara tanah air. Tinggallah dia seorang diri bertemankan ikan sepat dan patin di dalam akuarium yang baru dibersihkan semalam.

Malas melayan kata-kata hatinya, Mamat menjerang air panas untuk bancuhan kopi putih yang menjadi kegemarannya sejak akhir-akhir ini. apa yang sedap tentang kopi putih ni pun Mamat tak pasti, yang pastinya dia menggemarinya. “Hmm, apa aku nak buat malam ni? Semalam dah basuh akuarium, nak layan DVD semua dah tengok dah..” berkata-kata lagi hatinya. “nak keluar, malas pulak..time-time hujan ni leceh la nak keluar..” hatinya terus berkata-kata..

“Keletap!!” bunyi suis cerek air yang murah itu menandakan air yang dijerang tadi dah masak dan mematikan kuman-kuman yang tidak kelihatan dengan tahap kepanasan melebihi 100°C iaitu tahap didih yang mampu membunuh kuman-kuman jahat.

Tanpa berlengah, Mamat memulakan operasi membancuh kopi putih 3 dalam 1 dibelinya tempoh hari di pasaraya yang berlokasikan hanya 3 kilometer dari rumah sewanya itu. Mamat mengeluarkan 1 paket kopi putih dari bungkusan besar, lalu dengan penuh berhemat Mamat memotong hujung paket tersebut. Dicapainya dengan tangan kanan gelas comel kesukaannya. Pengunaan gelas ini amat penting baginya kerana akan menaikkan aroma dan keghairahan untuk menikmati kopi putih ini nanti.

Kemudian, sepenuh ketelitian, Mamat menuangkan serbuk kopi putih itu dan diketuk perlahan-lahan bagi memastikan tiada yang tersangkut dibucu-bucu paket itu. “rugi! Nanti tak sedap lak kopi putih aku ni!” katanya sendirian bagaikan orang yang hilang pedoman. Lalu tanpa menambah gula didalam kopi putih tersebut kerana mahu menjaga keaslian kopi putih itu dan secara tak langsung dapat menggelakan dari terkena penyakit kencing manis, Mamat menuangkan pula air panas yang masih berasap kedalam gelas tadi.

Dihidunya dalam-dalam aroma kopi putih tersebut. “Fuh! Seperti dijangkakan, memang best baunya” teriak kegirangan hati sanubarinya. Dengan penuh emosi keghairahan, Mamat memutar-mutarkan sudu yang telah berada didalam gelasnya sedari tadi lagi. Kacauan demi kacauan, sambil kerongkongnya menelan air liur yang ternyata tidak sabar untuk menikmati air kopi putih tersebut. “tahan! tahan! sikit je lagi nak siap ni..” bisiknya untuk menenangkan gelora dihati. Apabila kacauannya dirasakan telah secukup rasa, Mamat mengambil keputusan untuk menamatkan kacauannya. Dan hasilnya...

Nah! Inilah cara-cara penyediaan kopi putih 3 dalam 1 dari Mamat !

“terima kasih kerana membaca” ujarnya mematikan kata-kata ini sambil meneguk air kopi putihnya dengan kerakusan.

Pae...