Feb 19, 2010

aduh!!

Adoh! pedihnya




Suasana petang itu di ruang pejabat Mamat sangat riuh. Al- maklum la, semua orang dah sibuk-sibuk berkemas sebab nak balik kerja. Mamat tidak seperti mereka, dia lebih suka menghabiskan kerjanya jika perlu dan sebolehnya dia tak mahu tangguh sampai esok. Kerana baginya, esok tentu ada kerja lain yang perlu dibereskan. Dan dengan sikap ini, Mamat dianggap seorang yang rajin. Teman sepejabat cukup segan dengan Mamat, dia juga ringan tulang jika ada teman yang meminta tolong, dia pasti akan cuba untuk menolong. Begitulah Mamat bila berada di pejabat. Cuma nasib belum menyebelahi Mamat kerana setakat ini belum ada tawaran kenaikan pangkat untuknya lagi. “belum ada rezeki kot” bisik hati kecilnya.

Suasana di ruang pejabat telah senyap sunyi. Tiada lagi hilai tawa kedengaran kerana masing-masing telah keluar pulang. Tiba-tiba kesunyian itu di kejutkan dengan deringan telefon bimbit milik Mamat. Bunyi yang cukup memeritkan telinga kepada sesiapa yang mendengarnya, lebih-lebih lagi bunyi itu keluar dari telefon bimbit yang selayaknya di buat penyendal tayar kereta ketika pakir. Itulah Mamat, seorang yang suka pada kesederhanaan. Yang penting baginya telefon itu boleh di hubungi dan boleh menghubungi. Bukan Mamat tidak mampu untuk memiliki telefon bimbit yang canggih, tapi pada Mamat, belum ada keperluan untuknya membeli telefon yang lengkap serba- serbi. Bukan menolak teknologi, tapi belum sampai untuk dia menggunakannya. Sungguhpun begitu, Mamat sentiasa mengikuti perkembangan teknologi yang terbaru. Dia tidak mahu ketinggalan, tidak hairan kerana kawan-kawan Mamat yang menggunakan telefon bimbit canggih-manggih sering bertanyakan itu ini pada Mamat. Bila difikirkan semula, mereka ini lebih suka bergaya dari keperluan sebenar telefon bimbit canggih itu dicipta. “Membazir!!” fikir Mamat. Tapi kepada yang sememangnya ada keperluan untuk menggunakan aplikasi itu, ia memang amat memudahkan.

“Hoi!! Pukul berapa nak turun ni??” jeritan suara di hujung talian. “kejap, nak turun dah ni. Da cukup korum ke?” balas Mamat. “Da. Tinggal tunggu kau je la ni.” Balas suara di telefon itu kembali. “Ok. Roger. Jap lagi aku sampai” balas Mamat memberi kepastian kepada si pemanggil. “tuutt” talian di putuskan. “tunggu lah korang, hari ini korang pasti mendapat tentangan luar biasa dari aku” kata Mamat sendirian bagi menaikkan semangat juangnya. Tanpa berlengah masa, Mamat mencapai begnya lalu di sambarnya seluar baru berjenama terkemuka yang baru di beli ketika dia membeli kopi putih tempoh hari. Dengan rasa tidak sabar, Mamat mengambil senjata kesayangannya, “Fuh! Bergaya kau wahai senjata ku, dengan balutan pemegang baru berwarna merah jambu dan perisai BG 66 yang akan memantapkan setiap hanyunanku nanti. Mereka pasti akan menyesali kekalahan hari ini. Kau lah wiraku!” jerit Mamat sambil tangannya mengangkat tinggi raket badminton dengan sebelah kakinya di naikkan di atas kerusi dan memandang tepat kearah raketnya itu dengan penuh bangga. Persis seorang wira pedang.

Bergegas dia menuruni anak tangga, kalau boleh dia nak lompat je terus kebawah. Tapi takut terpatah pula kakinya nanti. Sesampai saja di pakir kereta, Mamat menghidupkan enjin keretanya. Lalu memecut laju keluar dari pakir. “jangan tiru aksi ini, aksi ini dilakukan oleh orang yang terlatih” jelas Mamat dengan tujuan mengingatkan. Jarak dewan badminton dengan pejabat Mamat tidaklah sejauh mana, cuma sekangkang kera je. Sebaik keluar dari keretanya, Mamat bergegas pula masuk ke dalam dewan badminton yang terletak berhadapan pejabatnya itu. Sebaik langkahannya menghampiri pintu masuk ke gelanggang, Mamat dapat mendengar teriakan namanya. “Mamat! Mamat! Mamat!” teriakan itu berbunyi. Mamat rasa terharu dengan teriakan itu. Dengan rasa bangga Mamat semakin menghampiri ke kawasan gelanggang. Tatkala dia terpacul di ruang legar, semua mata dirasakan melihatnya. Semangat juangnya semakin mendadak naik, berkobar-kobar jiwanya, tiba-tiba, dalam keriuhan itu Mamat terlihat suatu objek yang sedang terbang kearahnya. Mamat tidak sempat untuk mengelak, objek itu tepat mengenai mukanya. “adoi!” jerit Mamat menahan pedih dari objek yang dilemparkan. “oi hawau! apa yang kau tercegat tersengih lagi tu?, kau jangan nak berangan jadi bintang piala Thomas pulak!” kata si Sideen orang yang membuat panggilan tadi.

Berdesup-desup permainan mereka, setiap tujahan pukulan ‘smash’ dari pihak lawan disambut dengan senang, setiap helahan dibalas dengan kilasan yang mengelirukan oleh Mamat. Semua gelanggang penuh pada hari itu, ada yang dari jabatan kerajaan, pekerja industri, kelab persendirian dan banyak lagi. Semuanya menyewa di gelanggang itu kerana harganya yang rendah berbanding di tempat lain. Paling mencuri tumpuan dan menambahkan lagi semangat Mamat, gelanggang di sebelahnya adalah pelajar-pelajar perempuan yang belajar di kolej berhampiran. “comel-comel semuanya” rintih hati nakalnya. Mamat dapat rasakan yang dia menjadi tumpuan dari awek-awek itu. “kontrol hensem” kata hatinya lagi. Mamat dapat lihat dengan jelas pelajar-pelajar itu ada yang senyum-senyum, tersipu-sipu malu bilamana Mamat memandang atau menjeling kearah mereka. “piiaap” tujahan ‘smash’ dari Mamat dengan daya kelajuan 80m/s, membolehkan dia memenagi lagi set kali ini. bukan main bangga lagi Mamat bila seorang pelajar yang mukanya kemerahan bila Mamat menyapanya. Dengan kulit yang putih menyerlahkan lagi kemerahan mukanya. Mamat mengambil keputusan yang drastik, “mungkin ini masanya” kata hatinya. Dengan penuh gaya persis seorang juara yang mengungguli acara beregu, Mamat menghampiri perempuan itu. Semakin hampir, Mamat cuba mengawal kekacakkannya tak ubah seperti model lelaki yang sedang menggayakan seluar sukan. Tatkala Mamat meraba ke poket belakang seluar tersebut, dia menyedari sesuatu, “eh? tali apa pulak kat belakang ni??” bisik hatinya. Kini muka Mamat pula yang kemerahan. “adoh! aku pakai seluar terbalik la!!!” cakap Mamat didalam hati. Semakin merah muka Mamat. Tanpa berkata apa-apa, Mamat pusing semula ke arah beg raketnya dan tanpa banyak bicara Mamat menggalas beg tersebut lantas berlalu meninggalkan mereka yang berada disitu. Dengan langkah pantas Mamat mempercepatkan langkahnya, tapi seakan-akan jauh saja dia rasakan bilik persalinan. Dia tidak menghiraukan panggilan dari kawan-kawannya. “adoh malunya aku, budak-budak kolej tadi tengok aku bukanlah macam seorang juara tapi seperti maskot agaknya.” Fikir Mamat, Mamat terbayangkan maskot seekor kera yang sedang bermain badminton siap dengan berekor lagi. “adoh! Malang betul la hari ini” kata Mamat sambil meninggalkan kawasan dewan tersebut dengan rasa yang sungguh malu.



Pae...

Feb 7, 2010

kisah ngeri

Mengerikan




“Aduh! Apalah gerangannya mata ini tak mahu lelap ni..” keluh Mamat dari atas tilam empuk berspring itu. Entah kenapa malam ini matanya payah benar mahu dilelapkan. Beribu ekor kambing telah dibilang dalam fikirannya. “ikut petua” bisik hatinya sedikit kelucuan kerana ia tidak berjaya menunduk rapatkan matanya yang masih terkelip-kelip didalam sinar suram tengah malam. “Hmm..nak gugur, gugurlah nangka; jangan tertimpa dahan pauh, nak tidur,tidurlah mata; jangan dikenang orang yang jauh..” ucap Mamat yang dia sendiri tidak tahu bagaimana pantun itu boleh terpacul di bibirnya. “..tapi aku nak ingat dekat siapa?” rintihnya sedikit kecewa, kerana menurut catatan diari Mamat, tiada orang yang perlu dikenangnya apatah lagi orang yang bergelar awek.

Lepas sekali, sekali matanya berkelip, fikirannya asyik memikirkan mengapa malam ini susah benar matanya nak lelap. Selalunya, pantang saja badan dan kepalanya dicampakkan di atas bantal dan tilam berspring yang empuk itu, dalam seminit pasti Mamat dihanyutkan oleh mimpi-mimpi yang indah. Tapi itu tidak sekali terjadi padanya pada malam ini. Ini menambahkan kehairanan di kotak mindanya. Dalam keasyikan memikirkan masalah tidurnya malam itu, Mamat di sentakkan dengan satu bunyi yang agak pelik dari ruang dapur rumah sewanya. “klenting!” berbunyi lagi bunyian itu, Mamat memperamati bunyian itu. Ia seakan-akan bunyi gelas yang berlaga sesama sendiri. Tapi, yang menambah kehairanan Mamat, tiada siapa di rumahnya malam itu. “Eh? si Awang ni dah balik ke dari kursus? setahu aku bulan depan baru dia balik..” fikirnya. Dek kerana tidak berpuas hati dengan jawapannya sendiri, Mamat bingkas bangun dari perbaringan.

Dengan berhati-hati dan perlahan-lahan Mamat memulas tombol pintu biliknya dengan tujuan tidak mahu gerangan yang di dapur itu menyedari kehadirannya di dalam rumah. Terjengkit-jengkit kaki Mamat berjalan, persis si penghendap yang berjalan di belakang rumah orang untuk menghendap anak dara orang mandi. Tersenyum sendiri Mamat bilamana kenangan nakalnya di kampung dulu itu melintasi fikirannya. “klenting!” ia berbunyi lagi dan membuatkan Mamat kembali fokus kepada intipannya. Dari dalam kesuraman tengah malam itu, Mamat dapat melihat sesusuk tubuh yang kurus dan seakan berambut panjang di dapurnya sedang asyik bermain-main dengan gelas comel miliknya. Dengan pantas Mamat cuba menerpa kearah lembaga itu, namun belum pun sempat Mamat sampai ke terpaannya dia dikejutkan dengan pandangan yang menakutkan dari lembaga tersebut. “Mak! Tolong! Hantu!!” pekiknya. Lembaga tersebut terus menerpa kearah Mamat dengan hilai tawa nyaring bersenjatakan kuku yang panjang lagi tajam. “Arrrgh! Tidak!” jerit Mamat lagi, kini sepasang taring berada dekat dengan leher Mamat. “Ya Allah!” jerit Mamat dan bingkas bangun. “Laa, aku mimpi rupanya..”. “Nasib baik aku mimpi je” kata hatinya sedikit lega.

Lalu, dek kerana terperanjat, Mamat kehausan, diangkat punggungnya dari tilam menuju ke dapur untuk minum secangkir dua air masak lebihan dari bancuhan kopi putihnya tadi. Sesampai saja di dapur, Mamat dikejutkan sekali lagi dengan sesusuk tubuh yang sedang asyik bermain gelas comelnya. “Ah! sudah, apakah mimpi aku jadi kenyataan?” bentak hatinya ketakutan. Di beranikan diri, Mamat bergerak perlahan sambil terketar-ketar seram. Belum sempat Mamat menepuk bahu sesusuk tubuh itu, dia dilemparkan dengan pandangan yang amat menakutkan. Lebih menakutkan dari pandangan dalam mimpinya tadi. Mamat dipegang erat. Mamat kini tidak boleh bergerak. Sepasang taring yang amat runcing tajam telah tepat berada di lehernya. Tubuh Mamat dilepaskan, kini badannya pula yang menjadi sasaran, pedih Mamat rasakan bila kuku yang tajam itu mencakarnya. Dengan penuh semangat untuk menyelamatkan diri, Mamat mengumpul tenaganya dan.. “Nak! Rasakan tendangan aku” kata Mamat sambil kakinya dihayun kearah sesusuk tubuh itu. “bedebuk!” bunyi jatuhan Mamat dari tilamnya. “Laa mimpi jugak rupanya” kata Mamat dan bangun menggosok-gosok punggungnya yang kesakitan sambil kedengaran lagu “Umpama Mimpi Dalam Mimpi” nyanyian dari Damasutra yang menjadi penutup bagi mimpi-mimpi ngerinya tadi.

Pae...